Subscribe via RSS Feed

Keputusan Maybank Malaysian Open 2013 : 1st round

Maybank Malaysian Open 2013 telah membuka tirainya pada 15 Januari 2013 yang lalu dan bakal berakhir pada 20 Januari 2013. Kejohanan yang berlangsung untuk kali kesembilan ini telah dianjurkan oleh Maybank dan diadakan di Stadium Putra, Kompleks Sukan Bukit Jalil, Kuala Lumpur, Malaysia. Kejohanan ini telah berlangsung selama enam hari dan sehingga hari ketiga kelihatan pemain-pemain badminton negara sedaya upaya mengekalkan kedudukan mereka untuk terus bersaing sehingga hari terakhir kejohanan. Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2013 mempertaruhkan kategori Superseries yang menyaksikan pemain-pemain badminton berkelas dunia, terdiri daripada kategori lelaki dan wanita bagi merebut gelaran juara. Juara yang bakal memenangi kejohanan ini akan memperolehi wang hadiah yang bernilai USD 400, 000 beserta trofi.

Maybank Malaysian Open 2013

Keputusan Maybank Malaysian Open 2013

1st round :

    Setakat hari ini, jaguh badminton negara Datuk Lee Chong Wei masih berada di kedudukan yang selamat dan telah berjaya menumpaskan lawannya pada hari pertama dan kedua iaitu pemain Denmark, Viktor Axelsen dan dan bakal menentang pemain nombor 12, Boonsak Ponsana dari Thailand hari ini. Segala harapan terletak pada bahu beliau selaku pilihan utama dan pemain nombor satu dunia. Sebelum ini, Lee Chong Wei telah berjaya mengekalkan kedudukan beliau sebagai juara Maybank Malaysia Open untuk kali yang kelapan dan berharap tahun ini merupakan tuah beliau untuk memenanginya bagi kali yang kesembilan.
   
    Selain tumpuan terhadap persembahan Datuk Lee Chong Wei, pemain nombor dua negara iaitu Liew Daren turut layak ke pusingan kedua selepas membenam pemain India, Ajay Jayaram yang berakhir dengan 21-15, 21-11. Bagaimanapun, Liew Daren mendapat laluan percuma ke suku akhir pada Jumaat ini selepas penarikan diri bekas juara Olimpik Taufik Hidayat akibat kecederaan. Taufik sebelum itu membuat kejutan setelah mengalahkan pemain pilihan ketiga kejohanan, Nguyen Tien Minh dari Vietnam, 10-21, 21-7, 21-9 pada pusingan pertama dan dijangka menentang Liew pada pusingan kedua. Liew Daren bakal berhadapan sama ada dengan pemain Denmark, Jan Jorgensen atau Kashyap Parupalli dari India.
    
    Bagi beregu lelaki negara Koo Kien Kiat dan Tan Boon Heong turut menempah tiket ke pusingan kedua selepas berjaya menewaskan beregu Indonesia, Yonathan Suryatama Dasuki dan pasangannya Hendra Aprida Gunawan dalam dua set, 21-15, 21-15.

    Beregu Goh V Shem dan Lim Khim Wah juga mara ke pusingan kedua setelah bertungkus lumus mengalahkan beregu Denmark, Rasmus Bonde dan Mads Conrads-Petersen 23-21, 16-21, 21-11. Perlawanan ini dianggap sengit kerana kedua-dua pihak lawan masing-masing membuktikan kehebatan masing-masing untuk meneruskan pusingan seterusnya namun nasib lebih memihak kepada beregu Goh V Shem dan Lim Khim Wah.

    Beregu pilihan kelima Hoon Thien How dan Tan Wee Kiong juga melangkah ke pusingan kedua dengan mengatasi beregu Denmark Christian John Skovgaard dan Mads Pieler Kolding 22-20, 21-19.

    Beregu negara Gan Teik Chai dan Ong Soon Hock juga melangkah ke pusingan seterusnya dengan menewaskan gandingan Marcus Ellis (England)/Paul Van Rietvelde (Scotland) 15-21, 21-17, 22-20.

    Dalam acara perseorangan wanita, Sonia Cheah menjadi wakil tunggal negara ke pusingan kedua apabila mengalahkan pemain Jepun, Sayaka Takahashi 15-21, 21-19, 21-18. Bagaimanapun, kesemua lapan beregu wanita negara gagal melepasi pusingan pertama.

    Dalam acara beregu campuran, dua gandingan negara meneruskan saingan di pusingan kedua dengan Chan Peng Soon dan Goh Liu Ying menumpaskan Sudket Prapakamol dan Duanganong Aroonkesorn dari Thailand, 21-8, 15-21, 23-21. Tan Aik Quan dan Lai Pei Jing juga mencapai kejayaan awal dengan mengatasi gandingan Thailand, Thitipong Lapoe dan Peeraya Munkitamorn 21-11, 17-21, 21-12. 

Harap-harapkan final Malaysia Open tahun 2013 akan sehangat tahun-tahun yang lepas yang mana melibatkan pemain-pemain negara. Kami akan memaparkan info dan link live streaming tetibanya final Maybank Malaysian Open 2013!

Category: Sport